MENCARI REDHA TUHAN ATAU MENCARI GLAMOUR ?

Kasihan manusia ini, ramai di antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara serius mereka mengusahakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hidup sampai ke tua ramai yang mati muda.

Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka-mereka ini ditipu oleh angan-angannya.Mereka burulah nama dan glamour dengan bermacam-macam dan berbagai-bagai cara.Ramai orang kerana hendak nama dan glamor dia memanjat gunung, menyeberang, merenangi lautan, mengembara ke kutub,menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahalnya.

Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka lakukanlah bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Di waktu hendak nama dan glamor itu melanggar syariat atau as sunnah peduli apa, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita,yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.

Begitulah manusia di hari ini kerana nama dan glamor sanggup mati kerananya, kalau kerana Tuhan untuk tidak berbuat bermacam-macam alasan. Susahlah, sibuklah tidak ada masalah kerana itulah solat Subuh sahaja ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tapi setelah matahari naik.Begitulah orang memperkecilkan Tuhan kerana berbagai-bagai alasan mengapa ditinggalkan kerana nama dan glamor tidak ada yang mustahil, boleh sahaja.

Read the rest of this entry »

Penghayatan Tarawih

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.[1]

Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.

Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.

Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:

1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.

2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.

3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.

4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.

Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya.

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”[2]

Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian.

2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut di atas.

Read the rest of this entry »